Thursday, August 12, 2010

:: PERKEMBANGAN EMOSI KANAK-KANAK ::

Emosi didefinisikan sebagai suatu ekspresi perasaan naluri yang kuat seperti
sayang, gembira, malu, sedih, takut dan sebagainya. Iaitu kehebatan dan kesensitifan
perasaan yang selalunya diluahkan dari dalaman kepada tingkah laku tertentu atau
cara kita menyampaikan perasaan. Perasaan-perasaan yang kuat ini akan
mempengaruhi tindak balas luaran sama ada pada perubahan tubuh fizikal terkawal
seperti mimik muka dan tidak terkawal seperti badan berpeluh kerana ketakutan.
Dalam istilah Psikologi, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang
berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan
luaran (pergaulan sosial). Ia adalah suatu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan
oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas
untuk mempengaruhinya. Apabila minda tersebut bangkit untuk menunjukkan apa
yang dirasainya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai emosi.
Ada kalanya emosi dianggap sebagai suatu alasan yang saling berlawanan.
Sama ada beralasan untuk mengikut kehendak emosi atau tidak membiarkan emosi
menguasai diri. Demikian adalah konteks yang selalu berkaitan mengenai emosi iaitu
tentang penghasilan resolusi untuk mengawalnya.

Jenis Emosi atau Perasaan dan implikasi pada kanak-kanak:

Gembira - Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.

Marah - Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.

Takut - Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.

Sedih - Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.

Geli - Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.

Cemas - Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.

Malu - Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Rasa bersalah - Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ‘standard’ tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.

Rasa bangga - Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.